Monday, January 23, 2012

MB Harap Tahun Naga Beri Tuah Pada Kerajaan Perak - PerakToday,com


Tahun Baru Cina yang dianggap sebagai tahun Naga oleh masyarakat cina dipercayai bakal membawa tuah dan atas sebab itu perayaan kali ini disambut dengan suasana meriah dan dalam keadaan harmoni.

Naga yang dipercayai makhluk yang melambangkan kepimpinan yang jitu serta mempunyai keberanian luar biasa ternyata amat sinonim dengan kerajaan negeri Perak yang sentiasa bekerja keras demi menjaga kebajikan rakyat pelbagai kaum.

Sambutan yang diadakan di Kediaman Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir itu menyaksikan hampir 15 ribu rakyat Perak membanjiri Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina itu semata-mata untu sama-sama meraikan perayaan bagi kaum Cina.

Menurut Zambry, tahun Naga yang sinonim dengan kepercayaan dalam aspek panjang umur serta kepimpinan yang bekerja keras amat bertepatan sekali dengan usaha kerajaan negeri.

“Semua elemen ini penting untuk dalam usaha kita untuk mencapai perpaduan kaum dan sekaligus melonjakkan pembangunan… setiap cabaran yang bakal kita tempuhi tahun ini akan pasti dapat diharungi.

Malah katanya, perayaan Tahun Baru Cina kali ini wajar dijadikan sebagai permulaan untuk memperkukuhkan lagi hubungan keluarga dengan mengadakan pertemuan atau menziarahi sanak saudara.
Katanya,tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka terus diadakan di merata-rata tempat dan turut disertai oleh pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.


Majlis yang bermula seawal jam 11 pagi itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah serta Raja Permaisuri Bainun.

Turut menyerikan majlis, Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah serta Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Sultan Perak turut memeriahkan majlis dengan melakukan “Yee Sang” iaitu hidangan utama pada sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama Zambry serta Exco Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Yee Sang dipercayai dikalangan masyarakat cina sebagai juadah membawa tuah.

Selain itu rakyat pelbagai kaum turut dijamu pelbagai juadah termasuk kuih bakul dan kuih bangkit, sate dan berbagai lagi.

Sementara itu, persiapan untuk menyambut sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina di Sitiawan, Perak pada Sabtu ini sedang giat dilakukan.

No comments:

Post a Comment