Thursday, March 21, 2013

Nizar ‘Lari’ Ke Changkat Jering, Gagal Bela Pengundi Pasir Panjang: DS Zambry

21/3/2013 -- Nizar ‘Lari’ Ke Changkat Jering, Gagal Bela Pengundi Pasir Panjang: DS Zambry


TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri DUN Changkat Jering sesuatu yang tidak menghairankan berikutan kegagalan beliau membawa sebarang kemajuan di Pasir Panjang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, walaupun Nizar telah mewakili DUN Pasir Panjang, namun beliau gagal membawa sebarang manfaat kepada pengundi di situ.

“Sememangnya dari dalam Dewan (Negeri Perak) lagi kita dah nampak tindak tanduk beliau kerana tidak langsung berbincang mengenai DUN Pasir Panjang samada dalam bentuk bertulis mahupun perbahasan.

“Jadi tidak hairanlah kalau beliau mengambil keputusan untuk bertanding di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Ipoh, semalam.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut berkata, tindakan Nizar itu sedikit pun tidak mendatangkan kebimbangan kepada Barisan Nasional (BN) kerana beliau tahu sejauh mana kekuatan penyokong BN.

“Seperti yang sedia maklum, kita pun tahu kekuatan kita dan tindakan dia untuk bertanding di tempat yang baru sedikit pun tidak membuatkan kita berasa gentar kerana kita tahu apa yang beliau telah lakukan sepanjang berada di DUN Pasir Panjang,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu dikatakan bertanding di kerusi DUN Changkat Jering yang sebelum ini ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Abu Bakar Hussain pada satu ceramah di Ayer Kuning dekat Bukit Gantang, baru-baru ini.

Pada PRU-12, Osman Jailu yang mewakili PKR menang di kerusi itu tetapi bertindak keluar parti pada 2009 dan menjadi ADUN bebas

No comments:

Post a Comment